Saturday, July 17, 2010

Kisah Hari Interaksi!!!

Oooh, sudah hampir terlupa mau cerita kisah semalam. Dalam pada ramai guru tertunggu-tunggu sama ada artis tersebut akan muncul bersama isteri barunya di sekolah atau tidak namun hampa di mana anaknya juga tidak hadir. Sebenarnya, semalam hari interaksi ibu-bapa dan guru. Senang cerita, hari ibu-bapa berbincang dengan guru dan menilai prestasi anak mereka di sekolah. Ada kejadian menarik berlaku. Aku berada di situ dalam keadaan kecut perut jadi memilih untuk angkat kaki dan beredar.

Kisahnya, ada sepasang suami isteri berstatus profesional dengan gaji belasan ribu ringgit. Mempunyai dua orang anak perempuan di darjah 5 dan 6. Boleh dikatakan anaknya dalam kategori sederhana. Yang menjadikan cerita ini lebih menarik adalah bagaimana sepasang suami isteri ini mendepani anak mereka.....

Aku namakan saja suami isteri ini; sang suami, A dan isterinya, B. Mereka berjawatan penting dan bergaji besar. Memimpin puluhan malah ratusan kakitangan di bawahnya. Sibuk bekerja dari subuh hari hingga ke malam. Anak dibiarkan mengurus diri sendiri. Wang belanja harian mungkin rm50 sehari. Pandai-pandailah mahu cari makan pagi, tengah hari hatta malam sekalipun.

Jadi, dilepas bebas tanpa perhatian, kau fikir apa mereka berdua buat? Menjadi liar, melepak dengan kawan lelaki dan sebagainya. Pernah tertangkap melepak bersama kawan. Kesian. Pasangan A dan B sudah masuk carta sebagai orang yang suka membuat complaint di sekolah dari tahun lepas lagi. Semuanya salah sekolah. Tak tahu mengawal murid. Cikgu takde soft skill menangani masalah murid dan sebagainya.

Tahun ini saja sudah beberapa kali anak A dan B menghadap lembaga disiplin akibat salah laku. Tapi nyatanya, sekolah tiada kuasa hendak menghukum. Ingat kisah aku yang lalu??? Murid ditangkap mencuri hampir 3 ribu duit guru tidak dikenakan apa-apa hukuman. Guru besar menyimpulkan ia adalah kesalahan guru kerana cuai hingga menyebabkan kehilangan wang berlaku.

Berbalik pada murid tadi. Pada hari semalam, mungkin si A telah beberapa kali menangkap anaknya menipu dengan menjadikan sekolah sebagai alasan. Ada kelas tambahanlah, ada ko-ko, ada aktiviti dan sebagainya. Oleh kerana sudah lama menyimpulkan kemarahan, tanpa segan silu, si A telah menanggalkan tali pinggangnya dan membelasah anaknya depan aku, depan guru kelas, depan ibu-bapa dan juga murid yang lain. Aduh, paling tidak boleh diterima, tetap menyalahkan guru jua. Tidak pandai menangani psikologi murid, katanya. Dengan angkuh si A dan B menyatakan bahawa dia boleh menangani beratus pekerja di bawahnya tetapi guru gagal mendidik murid-murid. Di mana tanggungjawabnya sebagai ibu bapa. Aku pernah berbual dengan murid ini. dia cuma mahu perhatian dari ibunya. Mahu ibunya bertanya khabar. Juga jalan-jalan bersama di hujung minggu atau duduk makan semeja. A dan B walau hari minggu juga tiada di rumah. Entah, aku pun tak tau apa nak cakap. Mungkin biarkan saja sehingga dia sudah meninggalkan sekolah aku ini. Tapi sungguh kesian kerana mereka tidak dapat perhatian dari ibu bapanya sendiri...

No comments: